Sejarah tercipta! Sahoca Bikers Legends RIDE TO WISDOM: A MEET WITH TUN M
Isnin, 7 Oktober 2024, adalah tarikh keramat yang mencatat sejarah bagi Sahoca Bikers Legends kerana berpeluang bertemu muka dengan “Abang Senior” yang juga negarawan ulung dunia Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad. "Ride to Wisdom: A Meet With Tun M" ke Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya adalah ride paling bermakna bagi seramai 52 orang ahli Kelab Sahoca Bikers Legends yang sangat teruja dapat berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir.
Selalu hanya dapat melihat gambar dan membaca cerita tentang kehebatan negarawan hebat ini melalui media massa tapi pada majlis tersebut Tun Dr. Mahathir ada di depan mata - satu peluang yang tidak semua orang boleh menikmatinya dan semua peserta konvoi "Ride To Wisdom: A Meet With Tun M" sangat teruja dengan peluang keemasan ini.
Tun Dr. Mahathir merupakan bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) batch 1946 yang juga "abang senior" kepada ahli Kelab Sahoca Bikers Legends. Kunjungan hormat ini adalah sebagai satu penghormatan kepada Tun Mahathir yang menjadi idola dan kebanggaan alumni KSAH terutama Kelab Sahoca Bikers Legends.
Sahoca Bikers Legend berasa teruja serta bangga dapat peluang bertemu muka dan berkongsi kehebatan bekas Perdana Menteri Malaysia ini secara live dalam usia beliau 99 tahun.
Dalam majlis tersebut juga Sahoca Bikers Legends turut berkongsi aktiviti-aktiviti Kelab kepada Tun Mahathir yang juga Presiden Seumur Hidup Sahoca Kuala Lumpur.
Pertunjukan video mengenai kelab turut ditayangkan di mana aktiviti-aktiviti Kelab seperti Charity Ride, Jelajah Malaya, Ride ke Kolej Sultan Abdul Hamid, Ride Prihatin, Ride Ziarah dan lain-lain telah mendapat perhatian dan pujian Tun Mahathir.
Ditubuhkan sejak 2017, seramai 52 orang ahli Kelab yang terdiri dari pelbagai peringkat umur dan jenis motosikal datang dari seluruh pelosok semenanjung Malaysia untuk pertemuan bersejarah ini.
Majoriti peserta dari Kedah dan Lembah Klang. Konvoi di ketuai oleh Hemrizal Che Rahim bertolak dari Alor Setar pada hari Ahad 6 Oktober 2024 dan balik pada hari Selasa 8 Oktober 2024.
Majlis yang berlangsung selama hampir 3 jam itu berakhir dengan jayanya di mana kegembiraan dan kepuasan jelas terbayang pada wajah kesemua peserta konvoi Sahoca Bikers Legends.
Mereka mengambil kesempatan berbual dan bergambar dengan Tun Dr. Mahathir yang ramah melayan dengan senyuman yang tidak putus-putus.
"A RIDE TO WISDOM : A MEET WITH TUN M" diketuai Presiden Sahoca Bikers Legends, Ahmad Zahir Hamzah dengan dibantu oleh Shukri Ahmad sebagai Pengurus Acara.
Comments
Post a Comment