DARI remaja sehingga dewasa hubungan mereka tidak pernah putus
sejak bersekolah di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah. Malah
semakin akrab walau masing-masing telah membawa haluan hidup sendiri.
Dipertemukan dalam sebuah grup, mereka bersatu atas nama SAHOCA Bikers Legend bagi menyambung semula silaturahim.
Moto Make Life A Charity (Jadikan Kehidupan Satu Kebajikan) jadi pegangan ahli-ahli SAHOCA Bikers Legend ini.
Shafferi Rejab
"Jalinan persahabatan yang erat antara murid dan guru telah lama terjalin semenjak zaman persekolahan lagi, jadi kami himpunkan semula bekas murid dan guru dalam grup ini untuk menyambung silaturahim," kata bekas guru Kolej Sultan Abdul Hamid, Shafferi Rejab, 66, selaku ketua grup SAHOCA Bikers Legend.
Berasal
dari Alor Setar Kedah, Shafferi berkata dahulu kebanyakan aktiviti
adalah berkisar pada sukan seperti rugbi, bola sepak dan lain-lain yang
menyatukan guru dan murid di padang.
"Namun sejak 6 tahun yang lalu aktiviti
bermotosikal telah menjadi aktiviti SAHOCA yang paling aktif kerana
aktiviti ini lebih menarik serta memberi peluang kepada kami untuk
berkhidmat kepada masyarakat," tambah beliau lagi.
SAHOCA Bikers Legend semasa menjalankan aktiviti kebajikan di Baling, Kedah.
Ditanya
tentang persahabatan yang sangat akrab antara beliau sebagai bekas
guru dan bekas anak muridnya, Shafferi berkata semua telah diatur oleh
Allah.
"Walaupun kesemua kami masing-masing telah
bekeluarga dan sibuk dengan kerjaya namun rasa hormat, kasih dan sayang
antara kami sejak dari zaman sekolah menyebabkan kami setia menjadi
sahabat sampai sekarang," ujar Shafferi lagi.
Malah
mereka akan berusaha sedaya upaya untuk menghadiri dan menjayakan
aktiviti-aktiviti anjuran SAHOCA Bikers Legend sebanyak mungkin jika ada
kelapangan.
Menurut Shafferi, ahli ahli grup bukan setakat bekas murid tetapi mereka juga anak, sahabat dan saudara dunia akhirat.
Shamsulbadri Ishak
Sementara itu seorang lagi ahli grup yang juga bekas guru di Kolej Sultan Abdul Hamid, Shamsulbadri Ishak, 49 berkata, jalinan persahabatan ini menyebabkan semua ahli merasakan seperti satu keluarga besar yang sangat akrab.
"Kami
menganggap grup ini satu keluarga yang besar dan meriah. Hubungan pula
seperti ayah dan anak atau adik dan abang, boleh bergurau seperti adik
beradik," tambah Shamsulbadri.
Menyerahkan sumbangan berupa sejadah semasa menjalankan kerja amal di Kampung Iboi, Baling, Kedah.
Walaupun
matlamat sebenar SAHOCA Bikers Legend untuk menjalinkan silaturahim
antara sahabat-sahabat sepersekolahan di Kolej Sultan Abdul Hamid dan
guru-guru, grup ini juga mengambil peluang untuk melakukan kerja kerja
amal dan kemasyarakat.
Setakat ini SAHOCA Bikers
Legend telah membantu dan menyumbang untuk mangsa banjir di Pahang dan
Kedah dan masuk ke kampung kampung pada bulan Ramadan selain menziarah
sahabat SAHOCA yang sakit dan memerlukan bantuan.
"Ahli-ahli
grup juga walaupun telah berusia masih relevan untuk membuktikan bahawa
walaupun rambut dan janggut sudah putih namun semangat untuk berbakti
kepada masyarakat tetap membara dan tidak hanya menghabiskan masa lapang
dengan bersantai sahaja," tambah Shamsulbadri.
Ditanya
mengenai perancangan seterusnya untuk tahun 2022 ini, Shafferi selaku
ketua memberitahu kemuncak aktiviti tahun ini adalah Kembara SAHOCA ke Mekah yang dijangka bergerak pada awal Oktober nanti.
"Satu majlis doa selamat dan kesyukuran akan diadakan pada bulan September (2022) nanti, insya-Allah, " tambah Shafferi.
Romzi Bakar
Sementara itu bekas pelajar SAHOCA 1992 Romzi Bakar menyifatkan grup SAHOCA Bikers Legend sebagai sebuah keluarga besar yang sangat bermanfaat.
"Selain
dapat menyambung dan mengeratkan silaturahim antara bekas guru dan
murid ia turut mengingatkan kami kepada jasa guru yang sangat besar
kepada kami dan nilai persahabatan yang perlu dipertahankan.
"Dalam
grup ini, kami saling hormat menghormati, berbincang dan bergerak
melakukan kerja amal, menziarah sahabat SAHOCA yang kurang sihat dan
menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," kata Romzi.
Mohd Farieq Shahrizal Hussain
Sementara Mohd Farieq Shahrizal Hussain, 43, bekas pelajar SAHOCA 1996
pula melahirkan rasa gembira kerana berpeluang melakukan kerja amal dan
aktiviti sihat bersama dengan rakan-rakan sekolah dan bekas guru.
"Saya
merasakan grup seperti ini sangat penting kerana ia bukan sahaja untuk
beriadah tetapi membantu kita berfikir tentang kesusahan mereka yang
ditimpa musibah," ujarnya.
Pelbagai altiviti telah
dirangka untuk 2023 antaranya Ride Kemanusiaan, Ride Prihatin Bulanan,
Majlis Makan Malam SAHOCA Bikers Legend, Jelajah Malaya 2023 pada bulan
bulan Ogos 2023 di samping pelbagai aktiviti lain yang masih dalam
perancangan. - KitaReporters
Aktiviti
brmotor sempena menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-63 dengan Konvoi
Bermotosikal Jelajah Malaya Sahoca Bikers 90 - 2020.
Comments
Post a Comment